BETAPA benar sabda Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu bahawa umat Islam pada akhir zaman hanyalah seperti buih di lautan yang begitu banyak tetapi mudah musnah dialun ombak (kolum Sejenak Bersama Mualim dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia 5 Mei 2003).
Saya percaya bahawa di antara sebabnya ialah majoriti umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, amat malas melakukan qiamullail secara berterusan. Lantas, mereka gagal mencontohi Rasulullah s.a.w.
Ada juga di kalangan umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa penaklukan Iraq baru-baru ini telah sedikit sebanyak merosakkan akidah umat Islam, khususnya di Iraq.
Oleh kerana umat Islam di Malaysia telah mengadakan solat hajat beramai-ramai, ada juga yang berputus asa kerana doa mereka kepada Allah s.w.t. seolah-olah tidak diperkenankan.
Namun, saya juga percaya bahawa kebanyakan umat Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, yakin akan hikmah di sebalik perang Iraq. Antaranya ialah Amerika Syarikat terpaksa menasihati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan ekonomi ke atas Iraq yang telah berlarutan lebih 10 tahun.
Rangkaian solat termasuk solat Tahajud dua rakaat dan solat Witir lima rakaat, yang jumlah kesemuanya 13, yang merangkumi qiamullail, adalah suatu kefarduan ke atas Rasulullah dan para sahabat, bermula di Madinah pada tahun Hijrah Ke-2.
Namun Allah menurunkan ayat 10 hingga ayat 16, surah Ad-Dukhaan, dan memberitahu Baginda bahawa Quraisy Mekah amat menentang Baginda.
Justeru, Allah juga telah menjanjikan kekalahan tentera Quraisy di dalam Perang Badar.
Kesemua 313 orang tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang Badar yang tercetus dalam bulan Ramadan tahun Hijrah Ke-3, telah melakukan qiamullail hampir 12 bulan.
Selepas kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar, lalu Allah menurunkan ayat terakhir (ayat 20) surah Muzammil untuk memansuhkan kefarduan qiamullail dan menjadikannya hanya sebagai tathawwu', yakni kumpulan solat sunat secara sukarela.
Namun Rasulullah s.a.w. tetap menasihati para sahabat dan orang ramai terus melakukan qiamullail selepas mendirikan kelima-lima solat fardu.
Kekuatan qiamullail adalah benteng kepada tentera Islam yang telah menjauhkan mereka daripada tentera syaitan dari kalangan bangsa jin yang tidak kelihatan. Ketika Perang Badar, Allah telah membantu tentera Islam dengan tentera para malaikat yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh.
Ketika Perang Uhud yang berlaku selepas Perang Badar, tidak kesemua tentera Islam yang masih kekal melakukan qiamullail secara berterusan kerana ia bukan lagi suatu kefarduan.
Di antara sebab kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud ialah hilangnya benteng qiamullail dan sesetengah tentera Islam yang berada di Bukit Uhud, hinggakan tentera syaitan dapat menghasut mereka supaya membelakangi perintah Rasulullah.
Dalam lingkungan dua bulan selepas Perang Uhud, akidah umat Islam telah diancam pula dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas 69 daripada 70 orang pendakwah Islam yang bergelar al-Qurra di Bir Maunah, yang terletak di antara Madinah dan Mekah.
Jibrail a.s. telah memberitahu Rasulullah ketika Baginda bangun tengah malam untuk melakukan qiamullail pada hari Peristiwa Bir Maunah.
Sebelum itu, telah berlaku Peristiwa Raji', dalam lingkungan sebulan selepas Perang Uhud.
Hikmah di sebalik Perang Badar, Perang Uhud, Peristiwa Raji' dan Peristiwa Bir Maunah ialah suatu tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah Rabbul Malaikat war Ruh. Kebanyakan para sahabat dan orang Islam telah kembali melakukan qiamullail dengan tekun.
Kemenangan Saad bin Abi Waqqas .a. yang memang terkenal kuat mendirikan qiamullail ialah antara lain, disebabkan kekuatan qiamullail. Begitu juga, Salahuddin al-Ayyubi, seorang pahlawan dan pemimpin Islam yang terulung ketika tercetusnya Perang Salib menentang gabungan tentera kafir Eropah.
Umat Islam berdoa semoga Allah membantu tentera Islam dalam perang Iraq baru-baru ini, dengan tentera burung ababil yang pernah menghancurkan tentera Abrahah ketika menyerang Kaabah.
Namun di waktu yang sama, majoriti orang Islam di seluruh dunia gagal mendirikan qiamullail.
Sebagai langkah permulaan sebelum kita berdoa kepada Allah semoga umat Islam menjadi khalifah di dunia, kita hidupkan kembali qiamullail, untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan