Rabu, 16 Mac 2011

Hadis : Menerima Tekanan Hidup

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut. (Riwayat al-Hakim)

Solat tengah malam penghapus dosa, penghalang maksiat

MENURUT Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, ada beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam antaranya:

  • Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
  • Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
  • Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
  • Memerhati kepada kesungguhan individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamulail khususnya para solihin di kalangan sahabat dan ulama.
  • Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu bangun di tengah malam seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.
  • Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan Rasulullah dalam sabda yang bermaksud: “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra’Bin ‘Azib)
  • Bersegera masuk tidur (tidur pada awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan dilakukan Rasulullah SAW.
  • Berzikir dengan wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur (kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun) atau membawa ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur dan membaca tiga Qul.
  • Seboleh-bolehnya tidur sebentar pada siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur atau selepasnya.
  • Elak daripada banyak makan dan minum kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
  • Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa juga keadaan.
  • Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal pasti sebagai penghalang pertama mudah untuk bangun di tengah malam.
  • Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
  • Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunat muakkad yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

MANFAAT QIYAMULLAIL

Barangsiapa yang melaksanakan Qiyamullail pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan harapan, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lampau.

Sesungguhnya Allah mewajibkan atasmu puasa Ramadan dan disunatkan melakukan Qiyamullail pada bulan suci ini, barang siapa berpuasa dan melaksanakan Qiyamullail dengan penuh keimanan dan harapan maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lampau.

Kemuliaan seorang mukmin terletak pada salatnya yang dia dirikan di tengah malam dan kehormatannya terletak pada ketidak-tergantungannnya terhadap orang lain”.

Hidupkan qiamullail untuk kembalikan kegemilangan Islam

BETAPA benar sabda Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu bahawa umat Islam pada akhir zaman hanyalah seperti buih di lautan yang begitu banyak tetapi mudah musnah dialun ombak (kolum Sejenak Bersama Mualim dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia 5 Mei 2003).
Saya percaya bahawa di antara sebabnya ialah majoriti umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, amat malas melakukan qiamullail secara berterusan. Lantas, mereka gagal mencontohi Rasulullah s.a.w.

Ada juga di kalangan umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa penaklukan Iraq baru-baru ini telah sedikit sebanyak merosakkan akidah umat Islam, khususnya di Iraq.

Oleh kerana umat Islam di Malaysia telah mengadakan solat hajat beramai-ramai, ada juga yang berputus asa kerana doa mereka kepada Allah s.w.t. seolah-olah tidak diperkenankan.

Namun, saya juga percaya bahawa kebanyakan umat Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, yakin akan hikmah di sebalik perang Iraq. Antaranya ialah Amerika Syarikat terpaksa menasihati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan ekonomi ke atas Iraq yang telah berlarutan lebih 10 tahun.

Rangkaian solat termasuk solat Tahajud dua rakaat dan solat Witir lima rakaat, yang jumlah kesemuanya 13, yang merangkumi qiamullail, adalah suatu kefarduan ke atas Rasulullah dan para sahabat, bermula di Madinah pada tahun Hijrah Ke-2.

Namun Allah menurunkan ayat 10 hingga ayat 16, surah Ad-Dukhaan, dan memberitahu Baginda bahawa Quraisy Mekah amat menentang Baginda.

Justeru, Allah juga telah menjanjikan kekalahan tentera Quraisy di dalam Perang Badar.

Kesemua 313 orang tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang Badar yang tercetus dalam bulan Ramadan tahun Hijrah Ke-3, telah melakukan qiamullail hampir 12 bulan.

Selepas kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar, lalu Allah menurunkan ayat terakhir (ayat 20) surah Muzammil untuk memansuhkan kefarduan qiamullail dan menjadikannya hanya sebagai tathawwu', yakni kumpulan solat sunat secara sukarela.

Namun Rasulullah s.a.w. tetap menasihati para sahabat dan orang ramai terus melakukan qiamullail selepas mendirikan kelima-lima solat fardu.

Kekuatan qiamullail adalah benteng kepada tentera Islam yang telah menjauhkan mereka daripada tentera syaitan dari kalangan bangsa jin yang tidak kelihatan. Ketika Perang Badar, Allah telah membantu tentera Islam dengan tentera para malaikat yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh.

Ketika Perang Uhud yang berlaku selepas Perang Badar, tidak kesemua tentera Islam yang masih kekal melakukan qiamullail secara berterusan kerana ia bukan lagi suatu kefarduan.

Di antara sebab kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud ialah hilangnya benteng qiamullail dan sesetengah tentera Islam yang berada di Bukit Uhud, hinggakan tentera syaitan dapat menghasut mereka supaya membelakangi perintah Rasulullah.

Dalam lingkungan dua bulan selepas Perang Uhud, akidah umat Islam telah diancam pula dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas 69 daripada 70 orang pendakwah Islam yang bergelar al-Qurra di Bir Maunah, yang terletak di antara Madinah dan Mekah.

Jibrail a.s. telah memberitahu Rasulullah ketika Baginda bangun tengah malam untuk melakukan qiamullail pada hari Peristiwa Bir Maunah.

Sebelum itu, telah berlaku Peristiwa Raji', dalam lingkungan sebulan selepas Perang Uhud.

Hikmah di sebalik Perang Badar, Perang Uhud, Peristiwa Raji' dan Peristiwa Bir Maunah ialah suatu tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah Rabbul Malaikat war Ruh. Kebanyakan para sahabat dan orang Islam telah kembali melakukan qiamullail dengan tekun.

Kemenangan Saad bin Abi Waqqas .a. yang memang terkenal kuat mendirikan qiamullail ialah antara lain, disebabkan kekuatan qiamullail. Begitu juga, Salahuddin al-Ayyubi, seorang pahlawan dan pemimpin Islam yang terulung ketika tercetusnya Perang Salib menentang gabungan tentera kafir Eropah.

Umat Islam berdoa semoga Allah membantu tentera Islam dalam perang Iraq baru-baru ini, dengan tentera burung ababil yang pernah menghancurkan tentera Abrahah ketika menyerang Kaabah.

Namun di waktu yang sama, majoriti orang Islam di seluruh dunia gagal mendirikan qiamullail.

Sebagai langkah permulaan sebelum kita berdoa kepada Allah semoga umat Islam menjadi khalifah di dunia, kita hidupkan kembali qiamullail, untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam

Mesyuarat Agung PIBG


Jumaat, 25 Feb 2011 - Mesyuarat Agung PIBG kali ke-24 Sekolah Menengah Vokasional Melaka Tengah telah diadakan di Dewan Bunga Raya pada jam 3.00 petang. Majlis ini dirasmikan oleh Tuan Haji Sharabuddin bin Kudus, Pengurus Besar Yayasan Melaka.

Mungkin Anda Mencari :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...